Enaknya Makanan Kelantan di Nasi Pak Man

Sudah banyak kedai makan dan restoran makanan Kelantan yang saya pergi di Lembah Klang namun biasanya jarang saya kunjungi buat kali kedua mahupun seterusnya. Orang kata kira first time & the last time lah datang situ. Ada sahaja yang tidak kena dengan cita rasa saya!

Namun kunjungan ke Nasi Pak Man yang terletak di Kota Damansara baru-baru ini telah mengubah cita rasa saya malah saya tidak sabar untuk kembali mengunjunginya sekali lagi.

IMG20170827111941

Hidangan signature yang terkenal iaitu Nasi Pak Man sungguh enak lebih-lebih lagi apabila dimakan bersama sambal kerutuk dan sambal belacan memang “terangkat”! Hanya RM8, pelanggan dapat menikmati posyen nasi yang banyak dengan dua hingga tiga ketul ayam bersaiz sederhana memang mengenyangkan.

IMG20170827112006

Selain Nasi Pak Man, Nasi Dagang Ikan/Ayam, Nasi Berlauk Ikan/ Ayam dan Nasi Lemak juga boleh didapati di sini. Harga yang dikenakan adalah antara RM3 hingga RM8.50.

Tidak sempurna rasanya jika berkunjung ke restoran masakan Kelantan dan tidak merasai laksam. Berlainan sekali dengan apa yang saya pernah rasai sebelum ini, laksam Nasi Pak Man memang kow dengan penggunaan bahan yang segar membuatkan saya ingin menambah sepinggan lagi.

Meskipun kekenyangan tetapi apabila melihat ramai pelanggan yang rata-rata membuat pesanan Roti Tik Tak dan Roti Goldees, satu lagi hidangan yang menjadi signature di restoran Nasi Pak Man. Rasa ingin tahu membuatkan saya meminta pesanan yang sama.

IMG20170827112903

Sesudah mencuba kedua-dua hidangan itu, Roti Tik Tak menjadi pilihan favorite saya. Presentation yang menarik dengan telur separuh masak di bahagian atas roti sudah membuat saya kecur air liur. Tidak hairanlah ramai yang memilih hidangan enak ini.

Sungguh ralit makan di restoran ini disebabkan keenakan hidangan yang disajikan. Banyak hidangan yang tidak sempat saya rasa dek kekenyangan yang teramat. Namun saya akan pastikan semuanya dirasa sewaktu kunjungan kedua mahupun ketiga dan seterusnya.

Nota kaki

  • Saya beri 10/10 markah untuk restoran Nasi Pak Man
  • Memang sedap dan saya recommend untuk mencubanya sendiri
  • Berbaloi dengan harga yang dibayar

Dibuka dari pukul 10 pagi hingga 12 malam. Untuk maklumat lanjut:

Alamat: Nasi Pak Man, 49G, Jalan Sepah Puteri 5/1B, Pusat Dagangan Seri Utama PJU5,47810 Kota Damansara, Petaling Jaya.

FB:www.facebook.com/nasipakman

IG: http://www.instagram.com/nasipakman