
Menurut Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli (kanan sekali), beliau berasa bertanggungjawab memberi contoh teladan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak yatim dibawah bimbingannya, malah mengajak semua umat Islam khasnya menghayati sekali gus mengimarahkan bulan Muharam dengan mengadakan pelbagai aktiviti sesuai mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, sempena mengimarahkan bulan Muharam, pihak Rumah Kasih Nurhasanah telah menganjurkan pelbagai program bermula pada petang khamis 27Julai yang dimulai dengan bacaan Maulid, Marhaban, qasidah, tausiah dan doa 10 Muharam dan kemudiannya berakhir pada Jumaat jam 6.30 petang.
“Selain menghidupkan amalan sunat sepanjang 10 Muharam, kita juga mahu melatih jiwa anak-anak agar mudah mendekatkan diri kepada Allah. Sekurang-kurangnya dengan adanya program sebegini dapat mendidik dan melatih bukan saja anak-anak yatim di sini malah ia turut membuka mata masyarakat betapa pentingnya mendidik anak-anak sedari usia awal untuk mengetahui betapa banyaknya kelebihan bulan penting ini. Begitu banyak manfaat dan keistimewaan yang ada pada tarikh 10 Muharam ini, apa sahaja amalan baik akan dilipatgandakan pahalanya oleh Allah,”
Pelbagai aktiviti telah diadakan sepanjang hari di Rumah Kasih Nurhasanah bagi memberi semangat kepada anak-anak yatim di bawah bimbingan Ustaz Md Zawawi untuk sama-sama menghargai dan menghayati perjuangan dan pengorbanan Rasulullah SAW. Selain anak-anak yatim, Rumah Kasih Nurhasanah turut meraikan ibu-ibu tunggal dan keluarga anak-anak yatim rumah kasih.

Program bermula dengan kegiatan gotong-royong memasak bubur asyura. Sebanyak dua kawah disediakan untuk memasak bubur asyura.

Ia kemudiannya diagih-agihkan kepada anak-anak yatim, kelarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia dan tetamu yang hadir ke majlis doa dan selawat ini.
Majlis diteruskan dengan pemberian hadiah sumbangan berupa set barangan dapur kepada keluarga bistari bertuah dan 100 anak yatim yang berdaftar.
“Selain menyantuni anak-anak yatim, kami cuba berkongsi rezeki dengan memberi bantuan kepada 40 keluarga Ahli Kelab Anak Yatim Malaysia,” tambah Ustaz Md Zawawi.
Menurutnya lagi, beliau ingin merebut peluang menyemarakkan dan mewujudkan rasa kecintaan terhadap baginda Rasullah SAW selain meningkatkan rasa taqwa kepada Allah dengan mengadakan sambutan 10 Muharam tahun ini secara terbuka.
Kemuncak majlis adalah “Perjalanan Kembara Kasih Selawat Bersama-sama” yang melibatkan perarakan motosikal berkuasa tinggi hasil jalinan kerjasama dengan Anita Bikers Group, kelab kereta Black & White dan juga biker pengiring (KAY).

Bermula dari Galeri Nur Raudhah, seramai 30 anak yatim menaiki kereta-kereta berwarna hitam dan putih dan memulakan konvoi mengelilingi pusat bandar sambil diiringi oleh motosikal berkuasa tinggi dari Anita Bikers.

Pastinya satu perjalanan konvoi yang tidak dapat dilupakan oleh anak-anak yatim ini.
Selesai perjalanan konvoi, tetamu dijamu dengan dendangan qasidah dan zikir sehingga majlis tamat.
Bagi orang ramai yang ingin membuat tajaan mahupun belian barangan Galeri Nur Raudah dan Rumah Kasih Nurul Hasanah, boleh lakukan melalui:
- Galeri Nur Raudah : Akaun MBSB Bank No : 1005044100000615
- Rumah Kasih Nurul Hasanah: RHB Bank Akaun No 21227300053256

Leave a comment