Buat julung kalinya, Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd menganjurkan satu konsert di Istana Budaya dan memilih Lah Ahmad sebagai penyanyi utama untuk konsert itu. Pemilihan lokasi di Istana Budaya adalah kerana ia bertetapan dengan konsep persembahan, memandangkan ia bertaraf antarabangsa dan berprestij.

Konsert “Lah Ahmad Jatuh Cinta” ini diarahkan oleh YBhg Dato’ Haji Reduan Yusof yang juga berperanan sebagai Pengarah Projek. Ia bakal memberikan satu kelainan yang sangat menarik kerana konsert ini menyaksikan Lah Ahmad bergabung bersama Orkestra Simfoni Universiti Malaya di bawah pimpinan YBhg Profesor Dr. Hanafi Husin, Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya. Konsert ini juga akan diketuai oleh Muhammad Shahwalnaz Hussin, selaku Pengarah Muzik. Beliau juga merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya.

Lah Ahmad bakal menghiburkan peminat selama dua jam dan anggaran sebanyak 21 lagu akan diperdengarkan. Konsert ini juga akan mengundang beberapa penyanyi undangan yang pastinya akan mengejutkan peminat-peminat yang hadir ke konsert tersebut.

Pemilihan Lah Ahmad bagi konsert ini adalah berdasarkan keupayaan beliau memberikan persembahan secara langsung dan jiwa beliau yang sentiasa memberikan persembahan terbaik kepada peminat memandangkan beliau sudahpun berada dalam industri hiburan lebih dari 25 tahun dan pernah memenangi Persembahan Vokal Terbaik di AJL ke-22.
Selain tampil dengan irama R&B, beliau boleh membawakan pelbagai genre muzik dengan baik. Sepanjang pembabitan beliau di dalam industri muzik, beliau telah menerbitkan 4 buah album. Antara lagu yang popular adalah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang dan Ayu yang mana ia juga dijadikan antara nama untuk tiket konsert beliau.
Untuk konsert ini, Ideas Kuala Lumpur menjadi penginapan rasmi bagi krew Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd selain menjadi penaja lokasi bagi majlis sidang media yang di adakan di Pool Side Bistro. Di Pool Side Bistro ini juga disediakan ruang khas yang menghiburkan tetamu hotel dengan menyediakan persembahan secara “live”.
Bagi peminat Lah Ahmad yang berada di luar Kuala Lumpur, sekiranya anda ingin menginap di Ideas Kuala Lumpur untuk menyaksikan Konsert Lah Ahmad Jatuh CInta ini, anda akan mendapat harga istimewa!
Maklumat “Lah Ahmad Jatuh Cinta”:
- Lokasi: Istana Budaya
- Tarikh: 7 Oktober 2023 (Sabtu)
- Masa: 8.30 malam
- Harga tiket: Ayu (RM390), Ulangtahun (RM290), Sempurna dan Terbaik (RM210), Kerna Sayang (RM170), Adinda (RM130)
- Penjualan tiket: iLasso Tickets

Leave a comment