HELIKOPTER IRINGI PERARAKAN KONVOI KEMBARA KASIH MAULIDURASUL ANJURAN GALERI NUR RAUDHAH

Majlis Grand Mauliddurrasul yang bermula seawal pukul 9 pagi ini juga secara tidak langsung memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali lebih mendalam mengenai manusia teragung, Nabi Muhammad SAW melalui penganjuran pelbagai aktiviti-aktiviti selain daripada perarakan Konvoi Kembara Kasih.

Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Antara aktiviti yang disediakan untuk mereka yang hadir ke majlis itu adalah Perlumbaan Qasidah bagi kategori kanak-kanak, remaja dan dewasa, serta warga emas, diikuti dengan pertandingan melukis kubah hijau serta melukis sepanduk. Persembahan silat juga dipersembahkan kepada tetamu yang hadir.

Namun acara kemuncak majlis itu adalah aktiviti sebelah petang, bermula pukul 2.30 petang dengan perarakan Konvoi Kembara Kasih dari Galeri Raudhah.

Perarakan ini turut membawa beberapa artifak Nabi Muhammad SAW yang disimpan di Galeri Raudhah.

Dari Galeri Raudhah, perarakan berhenti seketika dan berkumpul di Dataran Merdeka bagi Gema Selawat.

Kemudian perarakan diteruskan ke Putrajaya. Di sini, helikopter sudah menanti kedatangan konvoi-konvoi tersebut. Selepas Asar, helikopter kemudiannya mengiringi perarakan kembali ke Galeri Raudhah.

Sebelum perarakan bermula, gema alunan selawat ke atas baginda Rasulullah SAW akan dialunkan, sebagai tanda kasih kepada baginda, selain bagi memberkati perjalanan majlis.

Menurut Pengasas Galeri Raudhah Pengetua Rumah Kasih Nurhasanah, Ustaz Md Zawawi Ramli, program ini diadakan dengan tujuan mengajak semua masyarakat bersatu padu, hidup bahagia, harmoni, berkasih sayang dan saling bantu-membantu.

“Kita mahu hidupkan amalan sunnah berkasih sayang seperti ditunjukkan baginda Nabi SAW. Kita mahu orang ramai tahu, betapa indahnya hidup berkasih sayang cara nabi, seorang pencinta agung. Kita mahu masyarakat hidup dengan Ikuti semua sunnah Baginda Nabi SAW dalam seluruh aspek kehidupan termasuk berkasih sayang, dalam pergaulan, bersahabat, makan minum, sunnah dalam berkeluarga dan sebagainya.

Sama-samalah kita perbanyakkan membaca sirah nabi, ikuti dan hayatilah ia. Paling mudah, banyakkan berselawat, semoga kita mendapat syafaat baginda dan mendapat rahmat Allah SWT. Keampunan Allah adalah kemuncaknya keredhaan Allah SWT. Banyak aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur. Datanglah, lapangkan waktu, sama-sama kita gemakan alunan selawat untuk junjungan besar nabi kesayangan kita, Rasulullah SAW. “Mudah-mudahan, dengan usaha kecil ini, dapat menjentik hati kita untuk melihat betapa indahnya sunnah nabi jika diamalkan dalam kehidupan seharian. Tenang dapat, pahala pun dapat insya Allah,”

Leave a comment