Majlis penting ini berlangsung di Galeri KL Wellness City dan dirasmikan oleh Y.M Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Y.A.M Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, tokoh dari kerabat Diraja Selangor, sebagai simbolik kepada dedikasi kelab tersebut terhadap kerja-kerja khidmat kemasyarakatan dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam memartabatkan nasib golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Pengarah Vokasional & Khidmat Masyarakat Rotary Club of HartaMas merangkap pengasas VV Consulting Group (VVCG), Vaishana Vasuthavan berkata,
“Majlis Pelantikan Rasmi Rotary Club of HartaMas menandakan permulaan misi penting untuk menyediakan bantuan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik, selaras dengan komitmen global Rotary International bagi memajukan aspek pendidikan menerusi biasiswa, derma dan projek khidmat masyarakat. Kami menyedari bahawa tanggungjawab bersama kita sebagai sebuah komuniti turut merangkumi usaha untuk menaikkan semangat mereka yang mungkin telah lama ketinggalan. Komitmen kami untuk menaja 100 orang kanak-kanak yang kurang bernasib baik pada Majlis Pelantikan Rasmi tahunan ini ialah bukti dedikasi kami dalam mencetuskan perubahan yang positif.
Selain itu, sebagai penaja dan rakan kongsi strategik acara ini, kami ingin menunjukkan kesungguhan VVCG dalam membawa perubahan positif dalam masyarakat yang selari dengan komitmen jangka panjang VVCG untuk kembali berbakti kepada masyarakat. Kami percaya bahawa kita boleh membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan kanak-kanak yang memerlukan ini”
Majlis Pelantikan Rasmi yang merupakan sebuah acara tahunan bagi meraikan pelantikan lembaga pengarah baharu Rotary Club of HartaMas mengangkat tema unik bagi menjadikannya sebuah acara yang diingati dan bermakna. Ia bertujuan untuk meraikan visi Rotary dalam mewujudkan sebuah dunia berteraskan perpaduan dan tindakan menerusi perubahan yang berkekalan.

Pada tahun ini, Rotary Club of HartaMas memulakan misi untuk menaja 100 orang kanak-kanak kurang bernasib baik daripada dua NGO iaitu Yayasan Sunbeams Homes dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas KL.

Kanak-kanak tersebut dijemput untuk mengambil bahagian dalam aktiviti keraian istimewa yang dirancang khusus untuk membawa kegembiraan dan keseronokan dalam hidup mereka.
Semua jualan tiket daripada acara ini yang berharga RM130 bagi seorang dewasa dan RM65 bagi kanak-kanak, akan disalurkan kepada golongan belia yang kurang bernasib baik bagi menyokong aspek pendidikan dan kesejahteraan mereka.
Inisiatif tersebut turut menzahirkan komitmen kelab dalam memupuk masa depan yang lebih cerah bagi kanak-kanak ini dengan memastikan mereka mempunyai akses kepada bahan pembelajaran dan persekolahan, menawarkan kelas tuisyen, mengadakan bengkel pendidikan, serta mewujudkan kerjasama dengan rumah anak yatim untuk meningkatkan tahap kesedaran tentang keperluan mereka.
Majlis Pelantikan Rasmi Rotary Club of HartaMas merupakan sebuah acara yang menggembirakan dan meraikan pertautan hati antara semua hadirin. Tetamu majlis berpeluang menjamu selera dengan hidangan bufet lazat daripada barisan trak makanan, menikmati persembahan hiburan kugiran secara langsung, turut serta dalam permainan kanak-kanak, dan beramah mesra dengan maskot yang membuat kemunculan. Ahli lembaga pengarah turut menjadikan majlis lebih signifikan menerusi penyampaian hidangan tajaan kepada kanak-kanak, sekali gus mengukuhkan hubungan yang terjalin dan mencipta memori yang bermakna.
Tentang VV Consulting Group
VV Consulting Group ialah firma Sumber Manusia dan Perunding ulung yang ditubuhkan di Malaysia pada 2020. VV Consulting Group mengembangkan perniagaan ke Singapura, Filipina dan Amerika Syarikat pada 2021 menerusi rangkaian pelanggan dan rakan-rakan kongsi firma.
VV Consulting Group membantu syarikat pemula dan PKS untuk menilai, mengenal pasti dan menyelesaikan masalah operasi perniagaan. Perkhidmatan VV Consulting Group merangkumi semua hal ehwal berkaitan Sumber Manusia dan Strategi Perniagaan.
VV Consulting Group memenangi anugerah dalam kategori Rakan Kongsi Khidmat Luaran Sumber Manusia Terbaik oleh HR Vendor of The Year Awards 2020. Pada 2021, VV Consulting Group dicalonkan bagi anugerah Pendatang Baru Terbaik dan Syarikat Pemula Terbaik (Startup of The Year) oleh Asean Startup Awards 2021. Selain itu, VV Consulting Group turut diiktiraf oleh SEBA (SME and Entrepreneurs Business Award) dan pengasasnya, Vaishana Vasuthavan menerima anugerah sebagai Usahawan Harapan 2021.
Tentang Rotary Club of HartaMas
Rotary Club of Hartamas ditubuhkan pada 19 Oktober 2020 di bawah Rotary International District 3300. Rotary ialah rangkaian global 1.4 juta orang anggota masyarakat, rakan-rakan, pemimpin dan penggerak komuniti yang melihat dunia sebagai sebuah medan penyatuan dan wadah tindakan untuk mencipta perubahan yang berkekalan – merentasi dunia, masyarakat, dan ahli kelab Rotary.

Leave a comment