Menerusi kolaborasi yang telah dimerterai, pada 24 Oktober 2023, Royal Alloy x Masdo telah melancarkan skuter edisi khas terhad yang diberi julukan Dinda bersempena dengan judul salah satu hit popular kugiran tersebut.

Kolaborasi Royal Alloy dengan kugiran Masdo ini pastinya dapat menebarkan harum seni mereka ke seluruh Nusantara secara tidak langsung memberi satu jalinan kerjasama yang mantap serta bergaya.

Ia juga menjadi intepretasi kepada kuasa tarikan di antara retro dan moden yang menambah gaya kehidupan masa kini dan tentu sekali bakal menjadi nostalgia yang tidak akan mati.

“Adalah satu kejayaan apabila Royal Alloy Malaysia dapat menjalinkan kolaborasi dengan band muzik yang sangat berbakat besar, popular dan cukup diminati bukan hanya di Malaysia tetapi sehingga Singapore Indonesia dan Brunei. Buat Royal Alloy Malaysia, pemilihan Kugiran Masdo sebagai ‘iklan bergerak’ kami adalah selaras dengan jentera skuter yang bergaya klasik tetapi berteknologi moden sementara Masdo pula adalah para pemuzik generasi kini yang moden tetapi membangkitkan keghairahan terhadap karya-karya bernuansa retro.
Kolaborasi Royal Alloy X Masdo ini akan mencipta nostalgia sama seperti berdekadnya penjenamaan jentera kami menemani kehidupan para penggunanya”
Dato’ Nik Izani Nik Ibrahim dari Royal Alloy Malaysia
Royal Alloy X Masdo ini juga menurut Dato’ Nik lagi, akan mencipta gelombang baharu dalam pengguna jentera skuter.
“Jika skuter mungkin pernah popular pada satu-satu era dan dianggap digunakan oleh segelintir golongan, namun menerusi kolaborasi Royal Alloy X Masdo kami mahu mencipta gelombang dengan melihat lebih banyak generasi muda menunggang skuter di jalan raya,”
Bagi Masdo yang dianggotai Ali Sariah, Putuceri dan Asmawi, lamaran berkolaborasi dengan jenama jentera skuter yang tersohor ini adalah satu pengiktirafan buat mereka sejak terbabit dalam dunia seni sejak dari tahun 2015.
Kolaborasi Royal Allay x Masdo juga menjadi lambang selain bakat dan mutu muzik yang diketengahkan, imej retro diperkenalkan kugiran tersebut kepada umum membuat penjenamaan mereka kuat.
“Menerima lamaran Royal Alloy Malaysia untuk projek atau kolaborasi ini ibarat bulan jatuh ke riba dan membuat Masdo mahu terus ‘Bercanda Di Malam Yang Indah’. Ia adalah sebuah penghormatan buat Masdo menjalin kerjasama dengan jenama yang sudah dikenali sejak berdekad lamanya. Kami berharap Royal Alloy x Masdo akan mencapai matlamat seperti yang diinginkan. Mari kita menikmati hidup dalam aroma retro tetapi moden sama seperti Royal Alloy dan Masdo”
Ali Sariah, Vokalis Kugiran Masdo
Syarikat Mofaz Motosikal Sdn Bhd yang ditubuhkan sejak 1980 kini menjadi pengedar tunggal Royal Alloy di Malaysia.

Leave a comment