
“THE LORD MUSANG KING” adalah filem sulung terbitan HUNDRED YEARS POPCORN PRODUCTION SDN BHD yang dimiliki oleh Penerbit Muzik Veteran, Ong Peng Chu. Beliau berpengalaman selama 38 tahun dalam industri muzik tempatan serta antarabangsa dan berkeyakinan tinggi dalam bidang dunia perfileman yang dirasakan satu bidang yang seiring.

Bagi Pengarah dari Korea Selatan ini pula, filem arahannya diharapkan dapat diterima oleh peminat-peminat aksi lasak serta pencinta filem dan memberi sokongan dengan menonton hasil karya seni beliau.

Satu majlis Malam Gala Tayangan Perdana Filem THE LORD MUSANG KING telah diadakan di GCS LALAPORT pada 19 Disember 2023, dengan tujuan meraikan kejayaan kolaborasi pertama antara Malaysia dan Korea Selatan, meraikan pelakon-pelakon yang terlibat, disamping menghargai sokongan seluruh industri perfileman tempatan.

Majlis ini turut dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan khas dan wakil-wakil media. Selain itu, majlis malam gala turut diadakan dengan harapan dapat membawa lebih banyak lagi filem tempatan ke peringkat lebih tinggi.

Filem ini juga mendapat sokongan daripada KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN DIGITAL (KKD) melalui PERBADANAN KEMAJUAN FILEM MALAYSIA (FINAS) menerusi DANA KANDUNGAN DIGITAL (DKD).
Sinopsis filem THE LORD MUSANG KING
Ia mengisahkan Haikal, anak pekebun durian Musang King yang berjaya, namun dianiaya dengan tuduhan membunuh, seterusnya dipenjara. Demi menyelamatkan Haikal, bapanya, Datuk Samad membuat perjanjian dengan syarikat perdagangan antarabangsa untuk membebaskan anaknya. Namun, Samad dibunuh ‘taikun’ Korea Selatan ketika cuba mencari bukti yang boleh membantu pembebasan Haikal. Selepas menyedari kejadian sebenar, Haikal menuntut bela atas kematian bapanya. Haikal berjaya menemui pembunuh bapanya atas bantuan rakan-rakannya, seterusnya membawa dalang pembunuhan ke muka pengadilan.
Pelakon-pelakon yang terlibat
Antara pelakon-pelakon tempatan yang terlibat adalah Yusuf Bahrin, Fimie Don, Harissa Adlynn, Jay Iswazir, Azri Sabri dan Eddie Chow yang juga merupakan penerbit filem ini manakala pelakon dari Korea Selatan adalah Kwak Donghyuk serta Kim Boyeon.
Maklumat filem
- Terbitan : Hundred Years Popcorn Production Pengedar: Metrowealth (MiG)
- Penerbit: Eddie Chow
- Penerbit Eksekutif: Ong Peng Chu
- Pengarah: Lee Moon Ho (Korea Selatan)
- Judul: The Lord Musang King
- Genre: Aksi
- Tempoh Penggambaraan: 21 hari
- Lokasi Penggambaraan: Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang
- Tarikh Tayangan: 21 Disember 2023

Leave a comment