Muhammad Luth Muhammad Aliff,, 5 tahun di diagnosis dengan Glioblastoma Multiforme Stage 4 pada Januari 2023, satu penyakit yang jarang dijumpai di kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Memandangkan penyakit yang dihidapi oleh Luth jarang dijumpai, maka maklumat dari segi rawatan mahupun pemulihan amat terhad. Kepakaran khusus dalam penyakit ini juga tidak dapat diperolehi, oleh itu Luth menjalani rawatan di Wad Paliatif yang hanya dapat membantu meringankan sakit.

Sebagai ibu, pastinya tidak mahu melihat anak kesayangan terus menderita akibat tiada rawatan yang khusus. Beliau berusaha mencari maklumat perubatan dan rawatan di luar negara dan akhirnya menemui pakar perubatan yang dapat membantu merawat Penyakit Jarang Jumpa ini di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun kos perubatan dianggarkan sekitar RM6 juta. Pelbagai cara dilakukan untuk mengumpul dana rawatan dalam masa yang singkat, namun pada bulan Jun, selepas lima bulan bertarung nyawa, Luth akhirnya meninggal dunia.
Maka, Yayasan Luth (YL) diwujudkan sebagai satu wadah murni yang menyalurkan bantuan kepada kanak-kanak di Malaysia yang diuji dengan Penyakit Jarang Jumpa, agar mereka dapat menerima rawatan dan perubatan pada kadar segera. Memandangkan penyakit ini memerlukan kos perubatan yang begitu tinggi, jadi rawatan segera adalah sangat diperlukan demi menyelamatkan nyawa anak-anak ini. Setakat ini, YL telah berjaya membantu hampir 200 kanak-kanak dengan memberikan bantuan perubatan dan rawatan.

Yayasan yang juga diterajui oleh datuk Luth, Saifuddin Abu Bakar , Penasihat YL, mendapat sokongan penasihat perubatan daripada Prof. Dr. Thong Meow Keong, Mantan Pengerusi Penyakit Jarang Jumpa yang juga Penasihat Perubatan YL dan Dr. Foo Jen Chuin dari Hospital PPUM, serta Penasihat Yayasan, Dato’ Hatijah Ayob. Mereka bukan sahaja memberi bimbingan dan harapan, tetapi juga turut membantu Puan Mas Hazirah dalam perjuangan menyembuhkan Luth.

Satu Sidang Akhbar Yayasan Luth telah diadakan pada 10 Ogos 2024 dengan tujuan untuk menyedarkan rakyat Malaysia tentang kewujudan Penyakit Jarang Jumpa di kalangan kanak-kanak. Ia juga diadakan untuk menyeru semua pihak, sama ada individu, sektor swasta, mahupun korporat, agar tampil membantu membuat sumbangan pada dana demi meringankan beban anak-anak kecil yang teruji ini.

Dalam sidang akhbar itu juga, YL telah menyalurkan sumbangan kepada Muhammad Adib Muhammad Azahar Zikri sebanyak RM72,400 untuk rawatan perubatan.
Memandangkan betapa besarnya kos yang diperlukan untuk merawat penyakit ini, Yayasan Luth, yang mewakili ramai pesakit kanak-kanak penyakit jarang jumpa yang sudah ada dan yang mungkin akan bertambah pada masa hadapan, memohon agar Kerajaan Malaysia mengambil perhatian serius terhadap penyakit ini, serta bertindak secara proaktif untuk mewujudkan pusat rawatan, perubatan, dan kajian penyakit jarang jumpa di negara ini, dan juga memberikan suntikan dana yg lebih lagi dalam Belanjawan Negara.

Leave a comment