‘SIMPLE SHOE CLEANER 1.0″ KALAHKAN 590 PENYERTAAN PERTANDINGAN ‘DIY MADE SIMPLE’ 2024

Tema pertandingan “Ciptaan Hebat daripada Bahan Sisa: Edisi Kertas dan Plastik”, menyeru para pelajar untuk mempertingkatkan kemudahan sekolah dengan menggunakan bahan sisa kertas dan plastik dengan bijak bagi mengurangkan kos serta menggalakkan kelestarian.

Sebagai juara, SMK Tinggi St David membawa pulang wang tunai berjumlah RM4,000, manakala SMK St Peter Kudat (M), Kudat, Sabah berada di tempat kedua dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM3,000. SMK Seri Panching, Kuantan, Pahang menduduki tempat ketiga dan menerima wang tunai sebanyak RM2,000; SMK Merapok, Lawas, Sarawak, mendapat tempat keempat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, manakala SMA Persekutuan Kajang, Kajang, Selangor menduduki tempat kelima dan menerima wang tunai sebanyak RM500. Selain itu, setiap pasukan turut menerima baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, berserta sijil dan trofi.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata,

“Kami percaya bahawa semangat kelestarian perlu dipupuk dalam diri generasi muda di Malaysia jika kita ingin melindungi planet kita untuk generasi akan datang. Matlamat kami dalam menganjurkan pertandingan DIY Made Simple ini adalah untuk membina pemahaman yang kuat dan mampan serta penghargaan terhadap bagaimana proses pengurangan, penggunaan semula, kitar semula, dan pengubahsuaian boleh menghasilkan impak yang positif kepada persekitaran binaan yang berbeza, terutamanya di sekolah-sekolah, di mana kanak-kanak menghabiskan sebahagian besar masa mereka. Kami sangat berbangga dengan perkembangan program ini sejak dilancarkan pada tahun 2017. Kami percaya bahawa program ini akan mencipta kesan gelombang di seluruh negara dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan positif,”

Zaleha turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada pelbagai organisasi yang terlibat dalam pertandingan ini, dengan menyatakan bahawa kejayaan program ini adalah hasil kerjasama yang kukuh antara MR D.I.Y. dengan Universiti Malaya, Kementerian Pendidikan, serta dedikasi yang tidak berbelah bahagi dari para pelajar, guru, dan ibu bapa.

“Penyertaan yang kami terima sangat hebat, cukup memberi inspirasi dan meyakinkan saya bahawa masa depan Malaysia dalam kelestarian amat cerah sekali. Tahniah kepada anda semua”

‘DIY Made Simple’ adalah pertandingan tahunan untuk seluruh negara yang dianjurkan oleh peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. [M] Berhad [MR D.I.Y.], dengan kerjasama Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya [UMCares] dan Fakulti Alam Bina UM, serta disokong oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Kesenian dari Kementerian Pendidikan. Untuk tahun ini, cabang amal MR D.I.Y., Yayasan MR D.I.Y. turut menjadi rakan kongsi dalam inisiatif yang diadakan di Auditorium Kompleks Perdana Siswa Universiti Malaya.

Profesor Madya Dr. Amer Siddiq Amer Nordin, Pengarah Pusat Penglibatan Komuniti Universiti Malaya turut memuji usaha para peserta.

“DIY Made Simple merupakan pertandingan unik yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan kreativiti dan memupuk inovasi. Ia mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran dan kecekapan yang penting untuk meraih kejayaan dalam dunia global. Inisiatif ‘DIY Made Simple’ membuktikan kuasa kerjasama dan komitmen berterusan daripada semua rakan kongsi dalam menghasilkan impak yang besar kepada komuniti. Adalah penting bagi universiti, badan kerajaan, industri, organisasi bukan kerajaan, dan media untuk bekerjasama dan saling menyokong dalam melaksanakan inisiatif yang dapat membawa hasil yang bermakna kepada masyarakat. Bersama-sama, kita boleh menghasilkan perubahan sebenar,”

Maahad Tahfiz Negeri Pahang, Kuantan, Pahang, dan SMK Tinggi St. David masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 kerana berjaya mendapat jumlah ‘like’ terbanyak bagi video pertandingan mereka di platform YouTube dan TikTok.

Hadiah saguhati [Anugerah Inspirasi] berupa baucar tunai MR D.I.Y. bernilai RM300, sijil, dan trofi telah dianugerahkan kepada:

⦁ SMK St. Mary, Limbahau, Papar, Sabah.
⦁ SMK Kunak Jaya, Kunak, Sabah
⦁ SMK Tasek Utara, Johor Bahru, Johor.
⦁ SMK Shahbandaraya, Klang, Selangor.
⦁ SMJK Phor Tay, Bayan Lepas, Pulau Pinang
⦁ SMA Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
⦁ SMK Muadzam Shah, Muadzam Shah, Pahang
⦁ Kolej Vokasional Sepang, Dengkil, Selangor.
⦁ SMK Air Merah, Kulim, Kedah.
⦁ SMK Convent (M) Kajang, Kajang, Selangor [2 pasukan].

Program ini juga mengiktiraf Jabatan Pendidikan Negeri yang telah membantu menyeru penyertaan dari negeri masing-masing, dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak merangkul tempat pertama, diikuti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Sarawak, Selangor, dan Johor.

Sejak dilancarkan pada tahun 2017, pertandingan DIY Made Simple telah melibatkan lebih 6,200 pelajar dari 715 sekolah di seluruh negara, dengan 1,242 penyertaan projek setakat ini. Pada tahun 2022, MR D.I.Y. mengumumkan bahawa ia akan meneruskan kerjasama dengan UM untuk tempoh tiga tahun lagi, bagi pertandingan pada tahun 2023 hingga 2025.

Untuk maklumat lanjut mengenai MR D.I.Y. dan pertandingan DIY Made Simple, layari:

  • laman web, www.mrdiy.com,
  • media sosial, Facebook, dan Instagram

Leave a comment