“HARI KEMENANGAN DUNIA” TAMPILKAN 8 ARTIS BARU ANGGUN MUSIC PRODUCTION

“Hari Kemenangan Dunia”,adalah tajuk lagu raya terbaharu terbitan Anggun Music Production yang dicipta oleh komposer baru yang juga penulis lirik untuk lagu tersebut, iaitu saudara Ilham Iskandar.

Anggun Music juga menampilkan serta mempertaruhkan beberapa artis baru naungan syarikat seperti Syafiq Ibrahim, Wazir Wahid, Zainol Roslan, Meclisandra serta penyanyi jemputan seperti Erman Braka dan Mayuji yang merupakan adik kepada penyanyi Hazama, menjadikan seramai 8 orang penyanyi termasuk komposer yang juga tampil bagi lagu Hari Kemenangan Dunia.

Untuk lagu Hari Kemengan Dunia, genre muziknya adalah gabungan dari rentak poptwist serta popjazz rancak yang pastinya mengingatkan semua dengan konsep muzik Silve Tortoise yang pernah popular satu ketika dahulu.

Pastinya genre muzik seperti ini jarang untuk didengari pada situasi sekarang dan ini juga adalah satu perubahan dan pertaruhan kepada lagu raya untuk tahun 2025 ini hasil dari pengubah muzik berpengalaman iaitu Bell Fatah, dengan harapan lagu ini dapat diterima oleh semua peringkat pendengar yang meminati lagu-lagu raya khususnya.

Lirik lagu ini yang juga ditulis oleh saudara Ilham Iskandar agak sederhana, namun mesej yang ingin disampaikan di dalam lagu ini wajar dipuji kerana ada lirik yang mengingatkan bahawa masih ada masyarakat Islam di luar sana menyambut hari raya dalam keadaan derita dan pastinya, wajib bersyukur dengan apa yang ada, maka sambutlah Hari Raya secara sederhana.

Berbeza dengan tahun lalu (2024), Anggun Music Production telah menerbitkan lagu Rindu Ayah Bonda nyanyian Yamani Abdillah dan Syafiq Farhain yang membuatkan kita teringat kepada lagu duet raya ayah mereka iaitu Lambaian Aidilfitri, namun lagu Rindu Ayah Bonda yang berkonsepkan lagu sedih sebagai permulaan untuk sama-sama memeriahkan industri dengan menerbitkan lagu raya yang juga di cipta oleh komposer Ilham Iskandar.

Pertaruhan artis baru juga wajar dipuji kerana selain dari menerbitkan lagu raya, Anggun Music Production juga telah menerbitkan single untuk mereka sebelum ini.

Pengambilan mereka semua sebagai artis rakaman dan artis naungan juga adalah berdasarkan bakat yang ada kerana kebanyakan mereka telah dilahirkan melalui program pertandingan lagu seperti Syafiq Ibrahim yang pernah menjuarai beberapa kali pertandingan karaoke, Meclisandra yang merupakan Juara Royale Voice 2024, Zainol Roslan finalis Bintang Irama Malaysia anjuran RTM serta pernah dinobatkan sbg ikon Irama Malaysia serta Erman Braka dan Mayuji yang juga merupakan finalis program Astro iaitu MicOn pada tahun 2020 dan begitu juga yang lain dengan pengalaman dan pencapaian masing-masing dan kali ini digabungkan di dalam satu lagu raya iaitu Hari Kemenangan Dunia.

Semoga gandingan komposer baru Ilham Iskandar bersama artis baru untuk lagu raya Hari Kemenagan Dunia ini mampu mendapat tempat di dalam industri muzik tanahair.

Leave a comment