PENGHARGAAN KEPADA PENYANYI JAY JAY DIABADIKAN PADA “MALAM RINDU BAYANGAN”

Acara itu dijadualkan berlangsung pada Ahad, 11 Mei 2025, bermula jam 8.00 malam di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang.

Ia merupakan persembahan amal makan malam selama tiga jam dan menampilkan gabungan artis-artis hebat tanah air, yang mana antaranya merupakan sahabat rapat Allahyarham Jay Jay.

Satu sidang media telah diadakan untuk mewar-warkan mengenai acara “Malam Rindu Bayangan”.

Dalam sidang media itu juga, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima utama yang amat memerlukan bantuan dan sokongan moral iaitu: Shuib (Freedom), Ramlah (balu kepada Allahyarham Yazit, pemain dram kumpulan Search) dan Ali (XPDC).

“Beliau seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai. Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua,”

ujar Dato’ Freddie ketika mengenang pemuzik dan rakan seperjuangannya, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus, yang telah meninggal dunia pada 4 Ogos 2024 pada usia 67 tahun.

Antara artis utama yang akan membuat persembahan adalah Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), serta barisan asal kumpulan Carefree yang pernah bersama Jay Jay dalam detik- detik gemilangnya.

Pra persembahan dimulakan dengan penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah yang akan menyampaikan beberapa buah lagu.

Persembahan akan diiringi oleh pemuzik maestro tanahair seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist, Firdaus dan lain-lain.

Selain persembahan pentas, malam tersebut turut akan menyaksikan jualan amal lukisan penghargaan oleh pengkarya seni Fathullah Luqman (Spiral Kinetik Circus /Infectious Maggots), yang akan dijual secara bida, serta penampilan istimewa saudara Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arahan seni album arwah sepanjang kariernya.

Segala kutipan hasil malam amal ini akan disumbangkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan.

Orang ramai terutamanya peminat setia Jay Jay, serta peminat barisan artis terlibat, dijemput untuk hadir dan menyokong acara ini.

Sokongan boleh disalurkan melalui pembelian meja untuk 10 orang pada harga RM1,500, RM3,000, RM5,000 dan RM10,000. Bagi yang ingin hadir secara individu, tiket berharga RM150 turut disediakan namun terhad
kepada hanya 100 tempat sahaja – siapa cepat, dia dapat.

Ini merupakan satu peluang yang amat berbaloi untuk menikmati persembahan luar biasa barisan artis terbaik negara sambil menjamu selera dan beramal dalam suasana penuh kenangan.

Untuk tempahan meja, pembelian tiket, tajaan atau sebarang pertanyaan, sila hubungi Dato’ Freddie di talian 012-2071400.

Leave a comment