
Majlis pelancaran kempen itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh di MYDIN Subang Jaya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian oleh penyanyi terkenal tanah air, Khadijah Ibrahim yang turut memperkenalkan produk sos cili yang diberi nama Sos Ibu.

Kempen yang memartabatkan produk keluaran tempatan menampilkan pelbagai promosi dan aktiviti menarik bagi menggalakkan pengguna membeli barangan tempatan selain memperkukuh kedudukan usahawan tempatan di pasaran runcit.
Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, berkata usaha memperkasakan produk tempatan menjadi sebahagian daripada keutamaan perniagaan syarikat sejak sekian lama.

“Kami memberi peluang sama rata kepada semua usahawan tempatan tanpa mengira saiz perniagaan. Yang penting adalah kualiti produk dan kemampuan memenuhi permintaan pelanggan. Tahun ini kami menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 15% bagi produk tempatan khususnya IKS dan PMKS”.

MYDIN turut menyerahkan Sijil Penghargaan Usahawan Tempatan 2025 bagi memberi pengiktirafan kepada rakan pembekal tempatan baharu yang berjaya memasarkan produk mereka di rangkaian MYDIN.

Kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ berlangsung di semua cawangan MYDIN seluruh negara sehingga 31 Disember 2025. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman media sosial rasmi MYDIN Malaysia.


Leave a comment