‘LUKA TERPALING DALAM’ SINGLE PERDANA POP BALADA ARY HUSSIN

Memiliki vokal yang hebat, Ary Hussin sudah bersedia memasuki ‘medan tempur’ sebenar dunia hiburan sebagai penyanyi atau pendatang baru, apatah lagi beliau sudah membuktikan dirinya punya pengikut tersendiri di platform media sosial.

“Luka Terpaling Dalam saya hasilkan mengikut ciri khas Ary Hussin iaitu kekuatan vokalnya yang cukup kaya dengan bunyian Melayu. Ada sedikit rasa ‘klasik’ tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini. Single ini berkisah tentang emosi dan patah hati menerusi liriknya tetapi ia menjadi sinematik dengan susunan permainan strings dan piano yang menjadikan Luka Terpaling Dalam bersifat kontemporari,” ujar Edrie Hashim.

Ary juga tidak perlu lagi mendendangkan lagu milik penyanyi lain di gerai burger yang beliau pernah bekerja sebelum ini , kerana beliau kini boleh mendendangkan lagunya sendiri di pentas!

Sempena dengan pelancaran single perdana pada 3 Disember lalu, buat kali pertama, Muzik Video beliau dipertontonkan beserta dendangan perdana secara eksklusif diadakan di hadapan wakil media.

Namun yang menariknya, Ary juga pertama kali melihat hasil muzik video rasmi yang diarahkan oleh Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment.

Menerima sentuhan sepenuhnya daripada Edrie ; selaku komposer dan penulis lirik, Luka Terpaling Dalam menampilkan kekuatan vokal Ary Hussin dalam balutan melodi pop balada yang sangat ‘pekat’ Malaysia-nya.

Bagi Ary Hussin, memiliki single sendiri dan dihasilkan oleh Edrie Hashim, salah seorang legenda muzik merupakan sebuah mimpi yang menjadi kenyataan, apatah lagi tawaran menjadi seorang penyanyi profesional hadir pada usia yang tidak lagi muda.

“Memiliki single sendiri berjudul Luka Terpaling Dalam adalah lembaran sejarah yang tidak pernah saya mimpi akan terjadi dalam hidup.

“Apa lagi ia dihasilkan oleh legenda yang sangat saya segani, Edrie Hashim. Saya hilang kata-kata namun saya bersyukur kerana bakat dan suara saya dinilai sebagai berkualiti serta mampu diketengahkan dalam industri muzik kita.

“Besar harapan saya, Luka Terpaling Dalam mendapat tempat di hati peminat kerana ia merupakan sebuah single berkualiti, bukan hanya kerana saya sebagai penyanyi tetapi keseluruhan karya ini dikerjakan dengan sangat cermat demi memenuhi kehendak pasaran pada masa kini,”

Diedarkan oleh A7 Empire (A7E), Luka Terpaling Dalam sudah boleh didengarkan di pelbagai stesen radio dan platform media sosial.

Baik Edrie Hashim selaku pencipta mahupun Ary Hussin sebagai penyanyi yang perdana kali memperkenalkan karyanya, kedua-duanya memasang harapan seiring. Mereka mahu Luka Terpaling Dalam dinikmati dengan baik oleh pendengar dan meraikan kepelbagaian karya Malaysia demi pertumbuhan sihat muzik tempatan.

“Harapan kami agar Luka Terpaling Dalam diterima dan diraikan pendengar sebagai sebuah karya baharu yang hadir memeriahkan industri muzik tempatan. Tanpa penghasilan karya-karya baharu meski dengan genre sama, industri kita tidak dapat berkembang. Jadi selamat mendengar Luka Terpaling Dalam,” ujar Edrie Hashim dan Ary Hussin.

INFORMASI

  • ARTIS/PENYANYI: ARY HUSSIN LAGU/SINGLE: LUKA TERPALING DALAM
  • KOMPOSER: EDRIE HASHIM
  • PENULIS LIRIK: EDRIE HASHIM GENRE: POP BALADA EDARAN: A7 EMPIRE (A7E)

Fakta menarik:

1)Ary telah berusaha selama 20 tahun untuk menembusi pasaran mainstream secara sepenuh masa dengan kerja-kerja muzik tanpa putus asa selama ini.

2)Pihak A7 mula berminat dengan bakat dan komitmen Ary sejak Program Astro iaitu Gimme The Mic pada 2024 dan mula merangka konsep yang bersesuaian, sebelum menawarkan kontrak sulung A7 kepadanya pada awal 2025.

3)Ary merupakan artis rakaman sulung A7 Empire dan A7 Entertainment.

4)Edrie Hashim merupakan salah seorang ‘idola’ Ary sejak muda lagi,lalu mencadangkan kepada pihak A7 untuk mendapat kerjasama dan khidmat beliau.

5)Ary dan Edrie Pertama kali melihat muzik video Luka Terpaling Dalam ini , di waktu yang sama dengan para tetamu dan media.

6)Ini merupakan live performance pertama oleh Ary Hussin secara eksklusif.

7)Ary menganggotai sebuah kumpulan rock dan merupakan vokalis kumpulan yang dinamakan Band Penunggu sejak 2017 sehingga kini.

Leave a comment