“Not all heroes wear capes”
Tidak perlu terkenal seperti Superman, Batman mahupun Spiderman untuk anda menjadi seorang adiwira ataupun Hero. Tetapi tanpa anda sedari, pengorbanan yang dilakukan nampak seperti benda biasa tetapi di mata orang lain, andalah Hero yang sebenarnya.
Pengorbanan seorang wanita yang menghabiskan waktu mudanya menjaga kebajikan anak-anak yatim
Pengorbanan seorang bapa yang menyerahkan wang gajinya setiap bulan kepada anak-anak yatim agar mereka bisa meneruskan kehidupan dengan sempurna
Pengorbanan seorang ibu yang terpaksa menyerahkan anak lelaki tunggalnya di rumah anak yatim demi kelangsungan hidup anaknya
Pengorbanan seorang cikgu muda yang melupakan impiannya demi memberi didikan yang sempurna pada anak-anak yatim
Pengorbanan yang banyak dilakukan oleh anak-anak yatim ini dalam mengharungi hidup tanpa kasih sayang ibu dan bapa
Ya, bagi saya yang menonton filem Small Town Heroes, mereka inilah hero-hero saya!
Berlatar belakangkan kawasan perkampungan di luar bandar, Small Town Heroes adalah sebuah filem Mandarin yang bakal ditayangkan sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi. Small Town Heroes menceritakan suasana kehidupan anak-anak yatim di House of Happiness. Pelbagai suka duka kehidupan dilalui oleh anak-anak yatim yang masih kecil dan muda ini apabila berhadapan dengan pandangan negatif serta diskriminasi masyarakat sekeliling kampung, dimanipulasi oleh segelintir pihak yang ingin memperoleh nama dan kuasa dan banyak lagi dugaan dan cabaran namun tidak mematahkan semangat mereka untuk sentiasa berani, cekal dan kuat.
Cerita Small Town Heroes menimbulkan banyak emosi. Sedih, kelakar, simpati, marah dan geram silih berganti selama satu jam 53 minit menonton Chong Fung, seorang budak lelaki yang agak nakal dan rakannya Hero Ng yang pendiam namun bijak dalam pelajaran menjalani kehidupan di rumah anak yatim House of Happiness bersama-sama beberapa kanak-kanak yang lain. Bersama-sama, mereka menjalani kehidupan seharian yang penuh dengan ragam, ada masanya gembira, penuh dengan gelak tawa dan ada masanya dilanda kesedihan.
Memang terpukau dengan kelincahan kanak-kanak ini berlakon, tampil bersahaja, tidak kekok di hadapan kamera malah aksi lakonan mereka spontan berbicara dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin seolah-olah berlakon tanpa skrip!
Sedikit selitan kisah cinta antara dua budaya juga menghidupkan jalan cerita Small Town Heroes. Banyak adegan lucu apabila melibatkan Cikgu Aisyah yang menjadi idaman seorang pemuda Cina di kampung.
Suasana perkampungan yang cantik serta kehadiran tasik biru kehijauan menambah tarikan pada filem ini. Malah lokasi penggambaran di beberapa kawasan tarikan pelancongan di Pulau Pinang yang cantik juga diabadikan dalam filem ini.
Tidak rugi menonton filem ini kerana banyak pengajaran yang boleh diperoleh melaluinya seperti kasih sayang antara sesama insan yang tidak mmepunyai pertalian darah, nilai persahabatan yang kekal terjaga dan saling menghormati tanpa mengira agama menjadikan kita berbangga hidup dalam masyarakat majmuk.
Bukan mudah untuk saya mengalirkan air mata apabila menonton filem ataupun drama, namun Small Town Heroes menjadikan saya cengeng, tahu-tahu sahaja air mata sudah membasahi pipi.
Tahniah atas karya yang hebat Ryon Lee, Aron Koh serta Lomo Pictures dan lakonan mantap daripada pelakon-pelakon cilik dan semua pelakon yang terlibat.
Bahasa: Mandarin
Sarikata: Inggeris/Melayu, Cina
Klasifikasi:P13
Tarikh tayangan: 3 Februari 2022
Genre: Drama
Tempoh penayangan: 1jam 53min
Pengedar: GSC Movies
Pelakon: Jack Lim, Layla Sania, Phua Chandler, Roger Shak, Yuan Teng
Pengarah: Ryon Lee
Format: 2D
#lomopictures
Leave a Reply