Tak pasal-pasal Aril, Wati dan anak tunggal mereka, Puteri menjadi mangsa!
Sebab itu kita disarankan agar jangan terlalu mengikut kata nafsu dan amarah, sebaiknya MEMAAFKAN dan teruskan kehidupan.
Dalam filem Musyrik-Api Neraka Menantimu!, dapat dilihat apabila seseorang itu menyimpan dendam dan sanggup berbuat apa sahaja asal orang yang dibencinya menderita hingga mengakibatkan nyawa orang lain melayang.
Aril, seorang duda berkahwin kali ke-dua bersama Wati dan mempunyai seorang anak perempuan, Puteri. Namun, bekas isteri Aril menyimpan dendam pada Aril kerana menceraikannya hanya kerana tidak mampu mengandung dan memberi anak pada Aril.
Bekas isteri Aril kemudian berjumpa Tok Dukun dan sejak itu, pelbagai kejadian aneh berlaku pada Aril hingga menyebabkan Aril sanggup berbuat apa sahaja untuk membunuh satu-satu anak perempuannya. Wati, isteri Aril terbunuh demi menyelamatkan puteri tunggalnya.
Keseraman filem Musyrik-Api Neraka Menantimu! bermula apabila roh Wati mula menjelma di hadapan Puteri dan ada masanya, akan memasuki badan anaknya itu. Sejak roh Wati berlegar-legar, perangai Puteri juga berubah sehingga menjadi mudah marah, suka keluar malam dan menyebabkan makcik Puteri bernama Farah yang datang menginap di rumah Aril, menjadi keliru dengan suasana gangguan yang dialaminya, sama ada ia adalah khayalan ataupun realiti?
Namun saya sukakan watak Farah yang walaupun ada rasa takut-takut namun berani menghadapi gangguan sepanjang duduk di rumah bersama Puteri,. Meskipun hampir setiap malam diganggu, Farah tidak pernah lari ataupun meninggalkan Puteri keseorangan malah sering mengikuti Puteri yang sudah dirasuk oleh roh ibunya ke kawasan buaian di belakang rumah pada waktu malam.
Pertemuan tanpa sengaja antara Ustaz dan Farah di tengah jalan raya, telah ‘membuka jalan’ pada Farah untuk meminta Ustaz membantu menyelesaikan perkara mistik di rumah Aril. Namun bukan mudah untuk Ustaz menghapuskan gangguan yang ada kerana syaitan yang mengganggu kehidupan keluarga Aril mempunyai aura yang kuat sehingga menyebabkan Ustaz dan sahabatnya, Yazid turut mengalami kecederaan yang agak teruk akibat ‘tempias’ amarah syaitan tersebut.
Setelah ‘bertarung’ beberapa kali, akhirnya syaitan yang menggangu kehidupan Aril berjaya ditumpaskan oleh Ustaz.
Apa yang saya sukakan mengenai filem Musyrik-Api Neraka Menantimu! adalah penggunaan surah daripada Al-Quran yang dibacakan oleh Ustaz sewaktu bertarung dengan syaitan. Ringkas namun ‘powerful’untuk melawan iblis yang sering menyerupai seperti manusia hingga nampak seperti ‘duplicate’.
Jalan cerita yang mudah dan tiada komplikasi membuatkan orang yang menonton filem ini cepat memahami apa yang berlaku. Lakonan Ariel sebagai Aril yang panas baran dan Asyraf sebagai Ustaz memang mantap.Watak Ruhainies sebagai makcik penyayang yang menyayangi satu-satunya anak buah sehingga sentiasa di sisi Puteri tidak kira apa jua keadaan juga menunjukkan kasih kekeluargaan yang hebat. Meskipun masih kecil, watak Puteri yang dilakonkan oleh Qaseh Shuhada tidak kurang hebat kerana berjaya membuatkan penonton berasa sedih, kasihan dan ketakutan.
Nama filem: Musyrik-Api Neraka Menantimu!
Tarikh siaran:7.7.2022
Terbitan: White Merpati Entertainment Sdn Bhd
Pengarah: Arjin Uppal
Penerbit: S. Baldev
Pelakon:
- Aeril Zafrel
- Ashraf Muslim
- Ruhainies
- Asihah Ilias
- Qaseh Shuhada
- Arwan Umar
- Neera Azizi
Leave a Reply