Satu majlis pengisian ilmu telah dianjurkan oleh MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB), anak syarikat yang dinaungi sepenuhnya oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersama-sama pelatih Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) di Wisma Ungku A.Aziz, pada 25 Oktober lalu.
Majlis Pengisian Ilmu Perancangan Harta Pusaka dianjurkan dengan objektif berkongsi ilmu perancangan harta pusaka kepada pelatih-pelatih ADMY 2022 agar mereka dapat menguar-uarkan serta meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai urus tadbir harta pusaka seterusnya mengurangkan isu harta terbeku dan tidak dituntut di kalangan umat Islam khususnya.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengerusi MyAngkasa Amanah Berhad merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Ybhg. Datuk Haji Mohamad Ali Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif YADIM (Menanggung Tugas Yang Dipertua YADIM), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.
Menurut Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Haji Abdul Fattah Haji Abdullah, sehingga ke hari ini, MAAB telah melakar pencapaian yang amat membanggakan dengan pendaftaran wasiat melebihi 223,247 kes dengan anggaran jumlah nilai aset sebanyak RM111.6 bilion. Jika Pentadbiran Pusaka ini diselesaikan kelak, pendapatan MAAB dianggarkan sebanyak RM2.23 bilion.
MAAB juga membuka peluang kepada pelatih ADMY 2022 untuk menjadi ejen perancangan harta pusaka dengan menaja Pemenang Daie Muda ADMY 2022 sebagai Rakan Niaga Premium MAAB selain menaja kursus latihan sebagai ejen kepada semua pelatih ADMY 2022.
Antara sasaran masa hadapan ANGKASA adalah untuk menjadikan MAAB sebagai penyedia utama khidmat Perancangan dan Pentadbiran Harta Pusaka di Malaysia seterusnya dapat menyelesaikan masalah harta pusaka terbeku akibat daripada kegagalan menyelesaikan urusan pentadbiran harta pusaka.
Selain daripada itu, ANGKASA juga membuka ruang kepada orang awam untuk menjadi ejen perancangan harta pusaka MAAB bagi memperluaskan lagi kefahaman produk perancangan harta pusaka seperti Wasiat, Hibah dan Amanah kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan bangsa.
Bagi individu atau mana-mana syarikat yang berminat menjalin kerjasama atau menjadi rakan niaga dengan MAAB, boleh menghubungi MAAB untuk penjelasan lanjut iaitu:
- Ecik Mohamad Darulnizam Mat Darus
Lembaga Pengarah MAAB
No telefon: 03-78846437
No Faks:03-78046722
Emel:darulnizam.angkasa@gmail.com
http://www.maab.myangkasaamanah.com.my
Leave a Reply