Tahniah Inteam atas pelancaran lagu terbaharu bertajuk Selimut Kasih! Pasti ramai di luar sana yang tak sabar mendengar lagu terbaharu ini. Apatah lagi Lagu Selimut Kasih telah tercalon di dalam kategori Lagu Nasyid Terbaik menerusi Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23) pada September lalu.
“Alhamdulillah Inteam telah menghasilkan sebuah lagu berjudul Selimut Kasih yang menceritakan keperitan hidup sebagai seorang pelarian melalui bait lirik tulisan yang diilhamkan oleh air tangan Fedtri Yahya. Muzik video lagu ini juga dirakamkan ketika Inteam menyertai misi kemanusiaan Musim Sejuk Syria bersama Peduli Insan pada awal tahun ini” kata Syah selaku ketua kumpulan dan pencipta lagu Selimut Kasih.
Inteam yang ditemui sewaktu Majlis Pelancaran Lagu & Muzik Video Selimut Kasih menzahirkan rasa syukur di atas sokongan peminat yang turut sama menyumbang bagi membantu pelarian Syria dan berharap agar kerjasama yang terjalin bersama Peduli Insan dapat diteruskan dengan usaha yang pelbagai di masa hadapan yang mampu memberikan impak positif melalui nilai kreatif.
Pertubuhan Peduli Insan Malaysia (Peduli Insan) adalah satu pertubuhan kemanusiaan yang banyak memberi bantuan kepada anak-anak yatim, keluarga miskin, golongan OKU di kalangan rakyat Syria. Dan kali ini, Peduli Insan meneruskan misi bantuan musim sejuk tahun 2022 yang mensasarkan tiga negara iaitu, Syria, Palestin dan Yaman.
Pengerusi Peduli Insan, Ustaz Luqmanulhakim Mohd Rezuan dalam kenyataannya pada 20 Disember, berkata melalui Ikon Kemanusiaan mereka, Inteam, telah berjaya mengumpulkan dana bantuan untuk Syria sebanyak RM1,025,252.75 sepanjang tahun 2022. .Beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada semua kumpulan media yang telah menyokong kempen-kempen kemanusiaan yang dilaksanakan Peduli Insan dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang supaya nilai ihsan demi insan dapat diterapkan kepada masyarakat.
“Dana yang terkumpul itu telah dimanfaatkan kepada 10,000 pelarian Syria sepanjang tahun 2022 di dalam bentuk bantuan berupa kit makanan, membaik pulih khemah, pendidikan, bantuan kecemasan serta alat pemanas dan bahan bakar yang amat penting untuk mengharungi musim sejuk”
“Pengalaman menyertai misi kemanusiaan di kem pelarian Syria yang terletak di kawasan utara Syria di mana Inteam dapat melihat dan merasai sendiri kesusahan dan penderitaan yang dialami pelarian menjadikan kami semakin menghayati tiap bait lirik lagu ini” kata Hazamin pula.
Melihat kepada muzik video yang dikongsikan secara rasmi buat pertama kali kepada pihak media, jelas menimbulkan rasa simpati terhadap pelarian Syria yang hilang segalanya dalam sekelip mata akibat dari kesan peperangan dan krisis ini telah berlanjutan sehingga hampir 12 tahun.
Dalam pada itu, Inteam berharap melalui lagu Selimut Kasih ini mampu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat untuk terus membantu pelarian Syria serta pelarian yang menghadapi nasib serupa di Palestin dan Yaman.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan penderitaan pelarian Syria, Palestin dan Yaman boleh menyumbang ke dalam akaun rasmi Bank Islam 0704 3011 06 2019 di atas nama Pertubuhan Peduli Insan Malaysia.
Pertubuhan Peduli Insan Malaysia www.peduliinsan.org
Leave a Reply