Satu sesi media telah diadakan untuk memberi peluang kepada pengamal media melihat sendiri dari jarak dekat Barangan Athar milik Nabi Muhammad SAW.

Menurut Penyelaras dan Jurucakap Galeri Nur Raudhah, Ustaz Md Zawawi Ramli, sesi media ini diadakan untuk berkongsi maklumat dengan orang ramai mengenai koleksi barangan peribadi Nabi Muhammad SAW yang wujud dan telah dibuktikan ketulenannya daripada kajian yang dilakukan oleh Allahyarham Datuk Prof Dr Haji Abdul Manan Embong.

Allahyarham adalah pakar arkeologi artifak Islam dunia yang juga pemilik Galeri Warisan MAR Terengganu. Beliau juga adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang dikira memiliki khazanak artifak athar Nabi Muhammad SAW yang terbanyak. Melalui hasil kerjasama antara dua pihak itu, maka Galeri Nur Raudhah diwujudkan dan semua khazanah artifak dihimpunkan dalam galeri tersebut.

Dengan terhimpunnya khazanah artifak ini dalam satu tempat, maka setiap athar atau barangan ini dapat dikongsi bersama-sama dengan orang ramai terutamanya masyarakat Islam bagi mengetahui lebih mendalam dan secara tak langsung menimbulkan perasaan cinta pada Nabi Muhammad SAW.

Galeri Nur Raudhah juga bertindak sebagai pemegang amanah bagi memastikan semua simpanan dan athar Nabi Muhammad SAW ini dalam keadaan sempurna, baik, selamat dan tidakdisalahgunakan mengikut beberapa syarat serta peraturan yang telah dibuat bersama Galeri Warisan MAR.

Dengan mengenali koleksi athar ini juga diharapkan dapat mendidik serta memberi motivasi untuk mengenali lebih mendalam akan sunnah Nabi Muhamamd SAW dalam kehidupan sekaligus menghayati sirah junjungan nabi mulia ini.

Selain mengadakan sesi lawatan ke Galeri Nur Raudhah, turut juga diadakan jualan pelbagai barangan sunnah dan barangan Ibadah bagi orang ramai yang datang berkunjung.
Kini, Galeri Nur Raudhah sedang mengusahakan satu kompleks pendidikan dan tamadun sejarah di Malaysia khasnya bagi tujuan menjadi sebuah pusat pendidikan dan pengajian Al-Quran, Fardhu Ain serta bidang pendidikan pembelajaran yang lain dalam mengembangkan syiar Islam.
Galeri Nur Raudhah:
- Dibuka pada Jumaat hingga Sabtu, Ahad & Cuti Umum
- Masuk: Percuma
- 10 pagi hingga 10 malam
- Dewan No. 01, Jalan Pimping Kanan, Ukay Height, 68000 Ampang, Selangor Darul Ehsan
- 019-3349955
- 019-3349933
- 03-42533500
Leave a Reply