Menurut Pengerusi KOPETRO, Encik Roslan Abdul Rahim, platform yang baharu dilancarkan ini adalah satu lagi inisiatif KOPETRO dalam membantu meningkatkan kualiti hidup anggota koperasi dan orang ramai yang menggunakan perkhidmatan mereka.

“Dalam era digital yang semakin pesat, proLindung akan memainkan peranan penting dalam memberikan kemudahan kepada pengguna untuk memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan mereka dengan lebih efisien. Platform ini direka khas untuk memudahkan pengguna dalam memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan dengan hanya beberapa klik sahaja,” ujar beliau sewaktu majlis pelancaran proLindung yang diadakan pada Majlis Aidilfitri ‘Raya Bersama’ KOPETRO.

Jelasnya lagi, proLindung beraspirasi untuk memberikan perlindungan yang komprehensif kepada semua pelanggan dan perkara ini diterapkan di dalam nama platform tersebut. proLindung juga dihasilkan dengan mengambil kira keperluan dan kehendak pengguna. Beliau juga menyeru kepada semua pengguna untuk mencuba proLindung dan memberi maklum balas kepada KOPETRO supaya platform ini dapat diperbaiki dan diperkembangkan dari masa ke semasa.

Istimewa buat anggota KOPETRO pula, di samping menawarkan perlindungan menyeluruh, anggota boleh memilih untuk membayar perlindungan takaful secara ansuran melalui potongan gaji setiap bulan.
Sempena pelancaran proLindung pada 12 Mei 2023, KOPETRO menawarkan diskaun sebanyak RM50 kepada 50 pelanggan pertama yang mendapatkan perkhidmatan memperbaharui cukai jalan dan takaful kenderaan melalui platform dalam talian proLindung.
Turut hadir di majlis pelancaran itu adalah wakil daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Anggota-anggota Lembaga Koperasi, perwakilan-perwakilan, anggota-anggota Jawatankuasa Audit Dalaman dan barisan pengurusan KOPETRO.

Majlis Aidilftri anjuran KOPETRO yang berlangsung dari pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang itu dihadiri oleh lebih daripada 2,000 tetamu yang terdiri daripada anggota-anggota koperasi, warga kerja KOPETRO dan rakan-rakan niaga koperasi.

Tetamu yang datang dijamu dengan aneka juadah Aidilfitri dan menu tempatan seperti Lemang, Nasi Impit, Rendang Ayam, Lontong, Laksa Utara, Nasi Hujan Panas dengan Ayam Masak Merah, Apam Balik dan Cendol.

proLindung boleh dilayari melalui:
- laman web: www.proLindung.com.my
- Facebook dan Instagram @proLindung
Leave a Reply