SERVIER MALAYSIA & PKNM BERGANDING BAHU TINGKATKAN KESEDARAN KANSER PANKREAS

Laporan Global Cancer Observatory 2020 (Globocan) oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia menunjukkan bahawa di Malaysia sahaja sudah terdapat 1,089 kes baharu.

Manakala jumlah kematian disebabkan oleh kanser pankreas pula dicatatkan sebanyak 1,066 pada tahun 2020. Prevalens penyakit ini adalah kira-kira dua orang dalam setiap 100,000 orang.

Sebahagian besar punca kadar kelangsungan hidup yang lebih rendah adalah disebabkan diagnosis dan pengesanan berlaku pada peringkat lanjut penyakit, yang mana rawatan adalah terhad dan pembedahan bukan lagi satu pilihan.

Sungguhpun prospek yang suram, namun masih terdapat kemungkinan untuk sembuh daripada kanser pankreas sekiranya ia dikesan dan dirawat lebih awal. Sehubungan itu, pengesanan dan pencegahan adalah keutamaan kerana ia merupakan teras dalam perjalanan rawatan dan kesan kesihatan pesakit.

Sebagai maklum balas senario ini, Servier Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (NCSM) telah berganding bahu untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjadi proaktif dan mengambil pendekatan segera dalam pengurusan kanser pankreas.

Berucap pada pelancaran program kesedaran dan pendidikan kansar pankreas bertemakan, Together, We Are Stronger…Supporting Each Other Through Pancreatic Cancer (Bersama, Kita Lebih Teguh…Saling Menyokong Mengharungi Kanser Pankreas), Dr. Kshitij Panse, Pengurus Besar Servier Malaysia berkata,

“Program kesedaran ini bertujuan untuk mengetengahkan kepentingan pengesanan dan intervensi awal sementara memaklumkan pesakit dan keluarga mereka tentang perkhidmatan dan sokongan yang boleh membantu mereka mengharungi cabaran hidup dengan penyakit yang mencabar ini.

Usaha ini sejajar dengan fokus Servier untuk sentiasa mengutamakan kepentingan dan keperluan pesakit sebagai nadi aktiviti kami, daripada penyelidikan dan pembangunan kepada program-program komuniti. Kerjasama kami dengan profesional penjagaan kesihatan untuk mendidik dan mempertingkatkan pengetahuan masyarakat mengenai penyakit ini dilengkapi oleh perkhidmatan sokongan psikososial NCSM yang tersedia untuk pesakit dan keluarga mereka. Walaupun perjalanan pesakit dan penjaga mereka penuh cabaran, kita boleh menjadi lebih kuat dalam mendepaninya bersama-sama.”

Dalam pembentangannya, Perunding Klinikal Onkologi, Dr Tan Chih Kiang menjelaskan,

“Kanser pankreas adalah sejenis kanser yang berasal di pankreas, satu organ penting yang berada di antara perut dan hati. Penyakit ini berlaku apabila sel-sel abnormal di pankreas berganda tanpa kawalan dan membentuk tumor.

Secara amnya, kanser pankreas menjejaskan lebih ramai lelaki berusia 50 tahun ke atas. Faktor risiko termasuk diabetes, merokok, pengambilan alkohol, obesiti dan sejarah kanser keluarga. Sekiranya individu kerap mengalami simptom-simptom seperti kesakitan abdomen atau bahagian tengah belakang, jaundis, mual, pengurangan berat badan yang tidak diingini dan masalah penghadaman, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rundingan doktor yang mungkin akan membuat pengimejan atau ujian diagnostik untuk memastikan punca penyakit.

Memandangkan simptom ini adalah biasa dan samar-samar, kes kanser pankreas selalunya tidak disedari atau disalah anggap sebagai keadaan yang kurang teruk. Ini menjadikan pengesanan awal mencabar, membawa kepada diagnosis tertangguh, pilihan rawatan terhad dan kadar kelangsungan hidup yang lebih rendah. Bergantung pada peringkat kanser, pilihan rawatan untuk kanser pankreas termasuk pembedahan, terapi sistemik seperti kemoterapi dan rawatan bersasar, radioterapi serta terapi paliatif dan sokongan.”

Pengarah Urusan NCSM, Dr Murallitharan Munisamy juga berkongsi pandangannya,

“Hidup dengan kanser pankreas boleh membebankan dan melemahkan tenaga. Ia boleh memberi kesan buruk kepada pesakit, penjaga mereka dan orang tersayang. Di sinilah, di mana NCSM boleh memainkan peranan sokongan yang penting. Mereka tidak perlu menempuh perjalanan ini seorang diri. Kami ada bersama mereka.

Perkhidmatan sokongan pelbagai displin dan psikologi klinikal NCSM meliputi keperluan fizikal, emosi dan mental pesakit dan keluarga mereka. Perkhidmatan disediakan daripada peringkat diagnosis kanser sehingga ke peringkat kelangsungan hidup. Ia merangkumi pelbagai bidang termasuk sokongan emosi, strategi menghadapi keadaan, pengurusan kebimbangan dan kemurungan, kesedihan dan kehilangan, nasihat pemakanan dan khasiat serta panduan untuk meningkatkan kualiti kehidupan yang menyeluruh.

Kami menjemput individu yang mengalami kanser pankreas untuk menghubungi kami di talian bebas tol 1800-88-100. Matlamat kami adalah untuk memperkasakan pesakit dan keluarga mereka agar terus tabah, kekal menyokong antara satu sama lain dan mengharungi perjalanan ini bersama-sama.”

Dalam suara yang seiring, Dr. Kshitij, Dr. Tan dan Dr. Murallitharan menggesa orang ramai untuk peka terhadap sebarang perubahan dalam kesejahteraan mereka dan sentiasa mengambil pendekatan proaktif untuk mendapatkan nasihat doktor serta rawatan awal. Mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat dan membuat perubahan gaya hidup juga perlu diberikan tumpuan.

Sekiranya anda menghidapi kanser pankreas, dapatkan bantuan yang melangkaui rawatan perubatan. Dapatkan juga sokongan bagi kesejahteraan fizikal, emosi dan mental. Perjalanan menghadapi penyakit ini lebih mudah apabila kita bersama-sama mengharunginya.

Together, We Are Stronger… Supporting Each Other Through Pancreatic Cancer ((Bersama, Kita Lebih Teguh…Saling Menyokong Mengharungi Kanser Pankreas)

Rujukan

Maklumat lanjut boleh didapati di:

Leave a comment