Bertajuk ‘Creating a World Without Fear of Cancer: A Critical Dialogue’, panel ini telah membariskan pakar dari pelbagai sektor industri kesihatan antaranya Dr. Kelvin Yii, Penasihat Khas kepada Menteri Kesihatan; Serena Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Regency Specialist Hospital; Prof. Ricky Sharma, Ketua Global Hal Ehwal Klinikal di Varian; dan penaung pesakit Ranjit Kaur, mantan Presiden dan anggota lembaga semasa di Reach to Recovery International (RRI).
Dalam perbincangan ini, barisan pakar dan peneraju dalam industri kesihatan tempatan menzahirkan keyakinan mereka bahawa dalam tempoh 25 tahun akan datang, adalah tidak mustahil untuk kanser menjadi satu penyakit kronik yang lebih mudah ditangani dengan lonjakan dalam kadar kelangsungan hidup dan kes kanser di Malaysia diunjurkan berganda menjelang tahun 2040, khidmat perubatan kanser juga dilihat semakin maju, yakni menerusi pelbagai inovasi teknologi dalam pengimejan diagnostik yang memudahkan pengesanan awal, diagnosis yang lebih jitu, terapi radiasi tersuai, kemoterapi bersasar berpandukan ilmu genom manusia, imunoterapi rintis, serta pembangunan program-program penjagaan kanser yang komprehensif.
Untuk membentuk sebuah dunia yang tidak gentar akan kanser, perlu dilihat perubahan yang signifikan dalam cara proses khidmat kesihatan disusun dan bagaimana onkologi diamalkan. Terdapat keperluan bagi pembekal khidmat kesihatan untuk “meluaskan” skop yang melibatkan kesihatan populasi dan pengurusan pesakit, serta “mendalami” kepakaran khusus aras tinggi dan teknologi-teknologi canggih bagi melipatgandakan keupayaan mereka. Perubahan ini hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama rentas disiplin, usaha sama strategik, serta haluan khidmat kesihatan kolaboratif yang terhubung dan bersepadu, yang mencakupi seluruh proses pengesanan dan rawatan kanser.
Menyepadukan khidmat pengurusan kesihatan

Fabrice Leguet, Pengarah Urusan Siemens Healthineers Asia Tenggara percaya bahawa langkah seterusnya dalam aspek pengurusan kanser komprehensif akan melibatkan usaha kolektif pelbagai pihak untuk beralih daripada landskap rawatan kanser yang terpisah kepada pendekatan yang lebih bersepadu.
“Kemajuan dalam bidang kesihatan membolehkan kami melebarkan langkah di samping mencipta anjakan baharu dalam perihal diagnosis dan rawatan penyakit yang rumit seperti kanser. Bagaimanapun, kami sedar bahawa tugas untuk melapangkan dada pesakit kanser memerlukan usaha kolektif daripada semua pihak dalam sistem ini. Matlamat kami adalah untuk menjadikan urusan pengesanan, diagnosis dan rawatan lebih mudah diakses, efektif, serta tersuai mengikut keperluan pesakit di Asia Tenggara,”
Polisi & Kolaborasi: Mengorak Haluan Bersepadu
Berhubung pelbagai cabaran yang wujud dari segi kenaikan kos teknologi tinggi, kekurangan kakitangan antarabangsa, serta kekangan dana untuk sektor kesihatan, Serena Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Regency Specialist Hospital memberi penekanan ke atas kepentingan usaha sama industri dalam memudahkan perkongsian ilmu serta penemuan baharu dalam bidang onkologi.

“Dengan mengintegrasikan cerapan yang diperoleh daripada aneka bidang, kita dapat melihat hasil yang pelbagai lagi efektif.”
Sentimen ini turut dicerminkan oleh Dr. Kelvin Yii, penasihat khas kepada Menteri Kesihatan.

“Pelan Strategik Nasional bagi Kawalan Kanser berhasrat untuk menjadikan pencegahan, pengurusan, dan kawalan kanser lebih mudah diakses serta mampu milik menerusi usaha sama dengan para pemegang tara. Matlamatnya adalah untuk meringankan beban kanser, meningkatkan pemahaman mengenai kanser, menggalakkan pencegahan serta diagnosis awal demi kemaslahatan pesakit.”
Teknologi & Inovasi: Arus Baharu
Sektor kesihatan global telah menyaksikan satu anjakan paradigma dengan kemunculan AI, analitik data, dan teknologi-teknologi rintis. Pengesanan awal, yang dulu merupakan satu cabaran besar kini dipermudahkan melalui sistem pengurusan kanser serba pintar.
Serena berkongsi,
“Unjuran semasa bagi teknologi kita adalah amat meyakinkan. Kita berada di ambang sebuah era di mana teknologi bukan sahaja mampu mengesan tapi juga meramal. Usaha sama strategik antara Regency Specialist Hospital dan Siemens mengukuhkan lagi komitmen kami untuk memudahkan pengurusan pesakit. Berpandukan kesejahteraan pesakit kami sebagai misi, usaha sama ini menggiatkan pengintegrasian solusi-solusi kesihatan terhubung, melahirkan sebuah proses pengurusan yang lebih lancar. Tambahan lagi, ia turut meluaskan khidmat terlindungan di samping pelaksanaan analitik ramalan dalam skala yang lebih besar, justeru memberi sumbangan yang signifikan kepada kesihatan pesakit kita.”
Menegaskan komitmen Siemens Healthineers, Fabrice menyatakan,
“Dengan kerjasama antara para pembekal khidmat kesihatan, kami sedang menggiatkan pemindahan ilmu onkologi dalam medan klinikal, teknikal dan pengurusan, termasuk penerimagunaan teknologi-teknologi inovatif merentasi seluruh titik pengurusan kanser. Sambil kami memanfaatkan akses ke atas amalan global yang terbaik dan juga inovasi yang terkini, kami mengambil pendekatan ‘sesuai untuk kegunaan’ di mana solusi disesuaikan mengikut konteks lokal menerusi kolaborasi rapat yang dijalin dengan para rakan kongsi kami di rantau masing-masing.
Dengan cara inilah kami dapat menubuhkan Pusat Kecemerlangan Onkologi dengan model khidmat penjagaan yang inovatif, membolehkan rakan-rakan kongsi kami menggembleng jaringan khidmat kesihatan mereka dan membekalkan keupayaan ini kepada pesakit. Di Siemens Healthineers, matlamat kami adalah untuk mendemokrasikan akses ke atas inovasi dan ilmu klinikal rintis ini dengan harapan untuk membolehkan semua kelompok masyarakat dapat mengakses khidmat penjagaan kanser yang tercanggih.”
Sokongan Pesakit: Menunjangi Khidmat Kesihatan yang Komprehensif:
Ranjit Kaur yang menyuluh aspek emosi pesakit kanser berkata:

“Ia boleh menjadi satu pengalaman yang agak sunyi, justeru menekankan kepentingan sokongan orang sekitar serta pendekatan holistik yang melibatkan rawatan perubatan serta kesihatan emosi. Berlatarkan sebuah dunia di mana teknologi memperbaiki pelbagai aspek kehidupan kita, kita juga haruslah mengutamakan aspek empati, keupayaan untuk memberikan rawatan dan perhatian pada waktu yang tepat, serta sistem sokongan komprehensif untuk pesakit, bukan sahaja di Malaysia tapi seluruh dunia. Pesakit menjalani sebuah pengalaman yang menggusarkan, tapi dengan memberi perhatian ke atas perihal ini, kita dapat membantu mereka mengharungi dan mengatasi penyakit kanser dengan lebih yakin.”
Prof. Ricky Sharma, Ketua Global Hal Ehwal Klinikal di Varian berkongsi,

“Kanser merupakan satu penyakit yang boleh berkembang dan bermutasi untuk mengelakkan ia dirawat. Justeru, kepentingan data pesakit tidak patut dipandang enteng, begitu juga dengan pengalaman rawatan pesakit dari negara ke negara. Kita memerlukan maklumat ini untuk membekalkan pengalaman yang lebih tersuai kepada pesakit, dan ia haruslah berpunca daripada satu sudut yang holistik. Kita perlu menanyakan soalan-soalan yang penting mengikut perspektif pesakit: Bolehkah mereka mendapatkan rawatan? Adakah tatasusila penjagaan pesakit dipelihara? Bagaimana dan di mana keputusan klinikal dibuat serta rawatan diberikan? Kita perlu mewujudkan sebuah pengalaman yang lancar dan berpaksikan pesakit agar kita sebagai sebuah komuniti dapat merealisasikan visi sebuah dunia di mana kanser tidak lagi ditakutkan.”
Ke Arah Dunia Bebas Kanser
Dengan menyulam usaha dari sudut teknologi, polisi, dan khidmat kesihatan, aspirasi bebas kanser 2047 kelihatan lebih jelas. Suara kolektif yang dizahirkan oleh panel ini mencerminkan optimisme dan keazaman.
Fabrice merangkapkan semangat tersebut dengan menyatakan,
“Setiap usaha sama strategik, setiap inovasi teknologi dan setiap kolaborasi dengan penggubal dasar akan mendekatkan kita lagi dengan sebuah dunia yang tidak lagi takut akan kanser.”

Leave a comment