FELDA JADI TUNJANG AGENDA MEMPERKASAKAN KOMUNITI DESA

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan FELDA membuktikan pembangunan luar bandar tidak lagi hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur, sebaliknya melibatkan pembangunan modal insan, ekonomi, pendidikan, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.

Menurut beliau, Malaysia kini bersedia membawa model pembangunan desa negara ke pentas dunia dengan menjadikan komuniti luar bandar sebagai rakan utama dalam pembangunan, bukan sekadar penerima manfaat.

“Produk dan jenama Desa Malaysia mesti berani menembusi pasaran antarabangsa, manakala usahawan desa perlu bersedia menjadi pemain ekonomi serantau,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, hari ini.

Beliau berkata, FELDA merupakan antara institusi penting yang membuktikan kejayaan transformasi luar bandar negara melalui pembangunan penempatan, peningkatan taraf hidup peneroka serta pengukuhan ekonomi komuniti.

Dalam masa sama, sebanyak 258 koperasi di tanah rancangan FELDA berjaya merekodkan nilai jualan RM50.18 juta sehingga Mei 2026, sekali gus mencerminkan kekuatan ekonomi warga peneroka yang semakin berkembang.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan itu selari dengan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk program RiSsMART, IkonDesa, Desa Kirana dan Gate to Global yang membuka lebih banyak peluang kepada usahawan desa menembusi pasaran tempatan serta antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan berjaya melahirkan lebih 7,000 usahawan desa baharu, mewujudkan 15,000 peluang pekerjaan serta mencatatkan nilai jualan melebihi RM1.77 bilion.

Katanya, usaha memperkukuh pembangunan luar bandar juga merangkumi pembinaan dan penaiktarafan hampir 5,000 kilometer jalan, penyediaan bekalan elektrik kepada lebih 7,000 rumah, bekalan air kepada lebih 10,000 rumah, selain hampir 10,000 rumah dibina atau dibaik pulih bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa.

Beliau menegaskan, kejayaan tersebut membuktikan pembangunan desa perlu menjadi agenda nasional yang melibatkan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh.

“FELDA bukan sahaja berjaya membangunkan tanah rancangan, malah terus menjadi simbol kejayaan pembangunan luar bandar Malaysia yang mampu dijadikan rujukan di peringkat dunia,” katanya.

Beliau yakin agenda Desa Malaysia yang diperkasakan melalui FELDA, FELCRA dan pelbagai agensi pembangunan desa akan terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat luar bandar.

Leave a comment