Saya dan buku memang tidak terpisah! Tatkala mengembara di luar negara, kedai buku dan perpustakaan adalah tempat yang harus disinggah walaupun sekejap!
Sebab itu bila saya ketahui adanya pembukaan baharu Bookxcess di pusat beli-belah Mytown Cheras, terus saya ke sana.
Berkeluasan kira-kira 31,200 kaki persegi, ia menempatkan sebanyak 170,000 buku daripada pelbagai genre seperti buku masakan, fiksyen, bukan-fiksyen, kembara, kanak-kanak, kraf tangan, seni bina, keagamaan, cinta dan banyak lagi.
Meskipun berkonsep minimalis dan simple, penataan hiasan dalaman Bookxcess yang mempunyai dua tingkat ini dengan susun atur rak-rak buku daripada kayu yang teratur serta kemas, ruang berjalan yang agak luas serta pencahayaan lampu yang redup menonjolkan persekitaran yang tenang. Memang sangat sesuai untuk bersantai sambil mencari dan membaca buku.
Bukan itu sahaja, semua ruang yang ada di sini boleh dijadikan sebagai tempat untuk OOTD. Bahkan terdapat satu ruang yang memang dijadikan tempat untuk pelanggan bergambar.
Apa yang menarik sekali pada rak-rak buku ini adalah reka bentuknya. Sekali pandang anda seperti melihat rak buku ini seakan-akan terapung di udara kerana binaannya yang tinggi. Jika buku pilihan anda berada di atas rak paling tinggi, maka anda boleh meminta staf di situ untuk mengambilkannya untuk anda.
Di kawasan tengah pula diletakkan sebuah piano. Ia bukan untuk pameran semata-mata bahkan ia boleh dimainkan oleh sesiapa sahaja.
Di aras dua pula, terdapat ruang yang menempatkan beberapa meja dan kerusi untuk pelanggan. Ruang yang diberi nama Piazza ini sesuai digunakan sebagai tempat bekerja @ working space lantaran persekitarannya agak terang kerana menerima cahaya matahari langsung. Di sini juga anda boleh melihat keseluruhan suasana di dalam Bookxcess dari atas.
Sambil membaca mahupun berkerja dari laptop anda, anda boleh menikmati secawan kopi ataupun teh panas bersama-sama kek pilihan dari kafe WHISK yang terletak di sudut belakang Bookxcess. Jika ingin makanan yang berat, bolehlah ke restoran Jepun Ume Tei yang terletak di bahagian belakang kanan kedai buku ini.
Selesai makan, jika anda ingin menegangkan urat-urat setelah sekian lama duduk, bolehlah ke sudut belakang sekali yang menempatkan galeri lukisan.
Galeri lukisan?
Ya, satu-satunya kedai buku yang menempatkan satu sudut khas yang mempamerkan hasil kreatif pelukis-pelukis tempatan!
Jika anda berminat dengan hasil lukisan yang dipamerkan, anda boleh membelinya pada harga yang berpatutan iaitu di antara RM200 hingga RM5,000. Sambil membeli, secara tak langsung anda menyokong hasil seni anak-anak tempatan.
Dalam masa yang sama, anda juga menyokong semangat cinta membaca dalam diri anda dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan apabila berkunjung ke kedai buku. Jadi jangan terlalu berkira untuk membeli buku-buku di Bookxcess kerana rata-rata ia dijual pada harga yang berpatutan jauh lebih murah berbanding kedai buku yang lain.
Maklumat lanjut:
Leave a Reply