Seramai lebih daripada 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara hadir ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Disember lalu bagi menghadiri Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022).
Untuk makluman,
HPPK disambut pada 18 November setiap tahun dan tahun ini adalah tahun yang ke-sepuluh sambutan di peringkat kebangsaan diraikan.
Konvensyen HPPK2022 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut disertai oleh rakan-rakan strategik KUSKOP antaranya Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM), Yayasan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil India di negeri Selangor.
Tahun ini juga menyaksikan HPPK2022 dirasmikan buat PERTAMA kalinya oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim. Hadir bersama di majlis perasmian adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami dan YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP.
Perdana Menteri di dalam ucapan perasmiannya mengucapkan syabas kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil yang memberi sumbangan secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau turut menyatakan pendirian Kerajaan Perpaduan untuk terus komited menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif kepada komuniti ini serta menzahirkan keyakinan terhadap KUSKOP untuk menerajui agenda keusahawanan negara selaras Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Selepas merasmikan HPPK2022 ini, Perdana Menteri juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peserta Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 16 orang penerima yang berjaya menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam perniagaan setelah mengikuti latihan melalui program keusahawanan anjuran KUSKOP.
Manakala Anugerah Khas Jasamu Dikenang diberikan kepada Allahyarham Dato’ Haji Ramli Norani iaitu mantan Presiden GPPPKMM dan juga ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil (M3PK) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia sejak tahun 2012.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam majlis yang sama menyatakan komitmen KUSKOP untuk terus membantu memperkasa golongan penjaja dan peniaga kecil selaku penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.
Leave a Reply